Sila Klik

Thursday, March 3, 2011

Memberi Walaupun Sedikit

Ini  adalah sebuah kisah benar.  Kisah benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah  kisahnya...

Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin  pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....

" Ada duit? Minta ayah sedikit.."                                 

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat  seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik  kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah,  isteri  dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak  banyak meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak  ada  duit," Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar  ditembak reaksinya.

" Bagilah beberapa yang ada," cadang emak pendek.

"Takkan 5 ringgit?"

Emak mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang 5 ringgit....Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan  ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan  pulang  ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa  yang  bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Geli  hati  mengenangkannya.

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke  kampung,  saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan  selalu mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk  diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya  yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk  diberikan  kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum  apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba.

Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam  memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi  sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan  setiap memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya  tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik  perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau  disampaikannya.
Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan.
Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan  semakin  membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampong dengan bas, tetapi selepas  beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat  komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami  sendiri.

"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah senyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung.
Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya,  ada  sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

" Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi  keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun  perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar,  hakikatnya  ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak  ingin  saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap  diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit  itu tidak lagi 'dikebas' oleh  saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya  berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke  kocek  anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya  sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!.
Disamping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh  sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya  sudah  membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading.
Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun  saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi  kepada  anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya.

Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami,  tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!

Anda ingin tah apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi  bersama :

"Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam  kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka  bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu  sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

"memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun  itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula.

DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka berkekalan.
Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak  kepada keredhaan ibu bapa."

Baiklah, inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang  diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam  mana-mana  buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Tidak ada?

Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga?
Memberilah kepada sesiapa sahaja.
Kita sentiasa berfikir untuk memberi.
Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri  walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

5 comments:

Anonymous said...

sgt terasa ngan citer nie..

terima kasih ..

Anonymous said...

Hamba pun, rasa bergenang air mata la, sedih...kalau ada ibu bapa lagi, kita berikanlah infaq wang ringgit & tenaga kita semampu kita, berterusan w/pun sedikit kpd mereka...

Anonymous said...

huhu, sedih..sedih

evi santoso said...

memberi .....sama artinya dengan kejujuran kepada yang Maha memberi,walaupun dalam keadaan lapang maupun sempit ...kita harus memberi.....

Anonymous said...

nsihat yg berguna..alhamdulilah...

Post a Comment