Besok adalah hari ulang tahun ibunya. Arif seakan tidak ambil peduli dengan hal itu. Seperti biasa, ia pergi ke sekolahnya dengan berjalan kaki. Sudah kerap kali ia mengeluh dan meminta pada ibunya supaya membeli sebuah motor untuknya, namun ibunya yang hanya menjual kuih tidak mampu untuk membelinya. Sesampainya di sekolah ia terus menyimpan beg di tempatnya dan terus ke belakang bangunan sekolah untuk merokok dan berbual-bual. Hari itu, seperti hari-hari lain Arif tidak juga masuk ke kelas sedangkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sudah semakin hampir. Setiap hari ia hanya menghabiskan waktu dengan bermain gitar dan merokok di belakang sekolah bersama beberapa orang kawan yang sepertinya.
Ketika sedang menghisap rokok di suatu hari, kawannya baertanya tentang duit yang dipinjamnya. “Rif, bila agaknya engkau nak bayar hutang kau tempohari ? Aku perlukan duit ni." kata kawannya seakan mendesak.
"Emm..petang nanti aku bayarla... Kau jangan risau lah, aku pasti bayar punya!" Arif menjawab dengan yakin walau pun sebenarnya dia juga tidak mempunyai banyak wang. Hanya cukup untuk belanjanya sendiri sahaja.
Pada waktu rehat, dia telah ponteng dari sekolah dengan memanjat pintu pagar. Dia menuju ke sebuah pasar berhampiran sekolahnya. Dia menunggu di situ sambil mencari peluang untuk meragut beg tangan pengunjung di situ. Dia memerlukan duit untuk membayar hutang kawannya. Dia akhirnya berjaya meragut beg seorang perempuan muda dan terus melarikan diri, tetapi nasibnya malang kerana dapat diberkas oleh orang ramai dan dibawa ke balai polis.
Di balai polis, pihak polis telah menghubungi ibunya dan menceritakan perkara yang terjadi. Ibunya merasa sungguh terperanjat dan menangis kerana sama sekali tidak menyangka anak tunggalnya terlibat dengan kes jenayah. Dia meminta kebenaran polis untuk bercakap dengan Arif. Mendengar ibunya menangis dengan penuh hiba, Arif tiba-tiba merasa menyesal dan turut menangis. Dia merasa menyesal kerana selalu mengecewakan ibunya. Bahkan ketika ibunya sakit pun dia tidak pernah ambil peduli keadaan ibunya. Yang dia tahu hanyalah bergembira dan bermain dengan kawan-kawan sebayanya. Dalam sedu sedan tangisannya, Arif berjanji akan berubah sikap dan cuba menyenangkan hati ibunya. Dia berjanji pada dirinya sendiri untuk mencium kaki ibunya bila ibunya sampai di balai nanti.
Masa terus berjalan, dari minit ke jam telah berlalu, tetapi ibu yang ditunggu tidak kunjung tiba. Arif merasa sungguh gelisah, risau memikirkan ibunya. Setelah tiga jam berlalu, tiba-tiba telefon Arif berbunyi. Di hujung talian, terdengar suara dari hospital memberi khabar bahawa ibunya dalam keadaan tenat. Ibunya dilanggar kereta ketika melintas jalan dalam perjalanan menuju ke balai polis. Arif menjerit sekuat hati, dia seakan-akan histeria mendengar berita buruk itu.
Dengan kenderaan polis, Arif dibawa melawat ibunya di hospital. Dalam perjalanan dia meminta pihak polis berhenti di sebuah kedai bunga. Dia tiba-tiba menyedari bahawa hari itu adalah hari ulangtahun kelahiran ibunya. Dia berhasrat membeli setangkai bunga kepada ibunya sebagai hadiah ulangtahun.
Sesampainya di rumah sakit, Arif berlari menuju ke wad yang menempatkan ibunya. Ia pelik bila mendapati ibunya tidak berada di situ. Kelam kabut dan bagai orang gila Arif mencari ibunya dengan bertanya petugas hospital Akhirnya dia menerima sebuah khabar yang begitu menyentap jantungnya....yang sesungguhnya tidak ingin dia dengar. Ibunya baru saja dipindahkan ke bilik mayat! Ya..ibu Arif tidak dapat diselamatkan kerana cedera parah. Ia meninggal dunia kerana kehilangan banyak darah. Arif terdiam, tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. bila mendengar mendengar kenyataan pahit itu... Bunga yang baru dibeli jatuh ke lantai... Dalam keterpaksaan dia berlari menuju ke jenazah ibunya. Dia menangis dan meraung memeluk ibunya. Kenyataan itu terlalu pahit untuk ditelan. Dia kini telah menjadi yatim piatu. Tiada lagi yang akan membantunya mengurus diri, tiada lagi insan yang akan menyiapkan makanan untuknya, malahan tiada lagi orang yang akan mengejutkannya dari tidur untuk menunaikan solat Subuh! Ibu!
Tangisannya semakin menjadi dan bertambah sayu bila dia terjumpa dokumen pembelian motor dalam beg sandang ibunya. Rupanya, pada hari ini, di hari ulangtahun kelahiran ibunya, ibunya telah berjaya mengumpul duit dan membelikan motor yang selalu dimintanya sebelum ini. Arif sangat menyesal kerana selalu membentak dan mengeluh depan ibunya kerana tidak dapat motor yang diidamnya. Salah seorang jiran memberitahunya bahawa selepas ibunya berniaga kuih, dia juga turut mengambil upah membasuh pinggan di sebuah kedai makan berhampiran tempat dia menjual kuih. Kekesalan Arif datang bertimpa-timpa, dia tidak dapat memafkan dirinya sampai bila-bila. Pun begitu, biar bagaimana pun tangisan Arif, ia tidak dapat mengembalikan apa-apa. Ia sudah terlambat untuk menyesal. Semua telah terjadi. Ibunya telah tiada lagi. 'Ibu...andai masa dapat kuputar, aku tidak akan minta apa-apa, aku hanya akan membahagiakan hati ibu... bisik Arif hiba.
Bagi anda yang masih mempunyai orang tua, sayangilah mereka. Berikan yang terbaik untuk mereka. Jangan sampai kita menyakiti hati mereka apalagi sampai membuat mereka menangis. Sudahkan anda bertanya khabar orang tua anda sekarang? Jika belum, hubungilah mereka. Tanyakan keadaan mereka dan katakan bahawa anda sangat menyayangi mereka. Jangan sampai terlambat. Kerana kita tidak pernah tau apa yang akan terjadi di esok hari, bahkan setiap detik yang bakal berlalu kita tidak dapat mampu menduga. Semoga ada sesuatu yang dapat kita petik dari cerita ini.....
0 comments:
Post a Comment