Sila Klik

Monday, January 31, 2011

Bimbang Poligami Bawa Musibah

Saat ini, ketika ini, pada waktu ini... hati dan fikiran saya bercelaru.  Saya tahu perasaan buruk yang bersarang di dada adalah bisikan syaitan.  Suara hati yang menidakkan syariat juga ilham dari syaitan yang sentiasa menggoda anak cucu Adam dengan sumpahnya sampai hari kiamat.

Beginilah kalau kewarasan tidak seiring  dengan fikiran.  Apabila iman menipis syaitan mula masuk jarum.  Saya tahu semua itu, tidak terkecuali kerana saya turut dibekal dengan ilmu agama yang tinggi.  Bekas pelajar tahfiz, bukan sedikit ilmu yang tertanam di dada, namun realitinya saya tidak berupaya mempraktikkan apa yang saya pelajari sejajar tuntutan hati dan kemahuan.  Astaghfirullah...


Begitulah wanita, walau tinggi ilmu agama namun bila bersangkut soal hati dan perasaan, rasional fikiran selalu diketepikan.  Saya buntu, amat-amat buntu bila suami mahu kahwin lagi.  Itulah yang membuatkan hati dan perasaan saya buntu dan bercelaru di saat ini, ketika dan pada  waktu  ini.

Pembaca yang dihormati, saya seorang isteri yang berumur 47 tahun, punya anak tiga yang sudah meningkat dewasa.  Perkahwinan saya dan suami sudah 25 tahun tetapi perkenalan kami jauh lebih lama iaitu 35 tahun!

Suami saya tidak kaya tetapi ada paras rupa.  Dia ada menjalin hubungan dengan wanita berbangsa Cina.  Mereka berkenalan ketika menghadiri kursus dua tahun lalu.  Seriusnya hubungan mereka hingga mendorong wanita itu memeluk Islam.  Saya pernah meminta wanita itu memutuskan hubungan dengan suami tetapi dia tidak mahu.  Suami juga keberatan melepaskan wanita itu.  Saya pula minta dilepaskan kerana tidak dapat menerima poligami.  Suami pula tidak setuju kerana dia masih sayangkan saya.  Suami minta izin berkahwin dengan wanita itu tetapi saya tidak izinkan.

Suami kata dia boleh berlaku adil.  Malah sekarang dia menunjukkan lebih kasih sayang dan perhatian pada saya.  Namun semua itu saya anggap berpura-pura kerana dia hendak memenangi hati saya supaya terima dimadukan.  Saya tidak nafikan saya amat sayangkan suami tetapi bagaimana hati ini boleh meneimanya?

Saya tahu suami mahu bernikah dengan wanita itu, dan  tiap-tiap malam juga saya bermunajat pada Allah.  Hampir semua permintaan saya dikabulkan kecuali supaya hati suami berubah untuk melupakan wanita itu.

Tidak pasti sama ada saya masih boleh berharap dan terus berdoa untuk tidak melalui poligami iaitu reda yang ini adalah ketentuan Allah.  Saya amat sedih sekarang ini.  Bagaimana saya boleh percaya suami tidak akan melebihi wanita itu daripada saya?

Sungguh ujian Allah SWT kepada saya bukan ujian yang ringan, apalagi bagi saya sebagai isteri yang selalu mendambakan kasih sayang penuh daripada suami dan orang-orang di sekeliling.  Meski saya tahu bahawa setiap ujian berat itu hanya diberikan kepada orang yang keimananya tinggi.  Allah tidak membebani seseorang kecuali dengan kesanggupannya.  Subhanallah....

Saya selalu mengingatkan diri saya, saya boleh memikul beban berat ini.  Saya memujuk diri supaya berfikiran positif, mampu mengatasi dan tidak berlarut-larutan dalam kesedihan.  Namun diri saya tidak kuat, tidak terdaya menepis semua rasa tidak mampu, yang akhirnya membuatkan saya rugi sendiri.

Saya cuba merancang beberapa langkah demi langkah secara bertahap untuk mengatasi masalah ini dengan suami.  Pertama yang saya lakukan adalah melakukan komunikasi dari hati ke hati dengan suami, tentang perasaan masing-masing.  Apakah suami mencintai saya?  Apa kekurangan saya selama ini hingga dia berpaling kepada wanita lain?  Saya bermuhasabah diri, memang saya dan suami mempunyai kekurangan masing-masing namun apakah alasannya cukup wajar untuk berpoligami?

Saya sudah berterus-terang mengenai perasan saya jika nanti saya menjadi isteri yang dimadukan, agar dia dapat memahami dan meminimumkan perasaan negatif saya.  Wajar saya rasa jika seorang isteri merasa cemburu, maka bagaimanakah sikapnya nanti dalam mengatasi rasa cemburu saya?  Konsep adil yang bagaimana yang suami yang akan laksanakan.  Dapatkah dia terus berpegang kepada aturan agama sedangkan dia sudah melakukan kesalahan mengkhianati kesetian dan kepercayaan saya?

Semua soalan dan permasalahan yang saya lontarkan itu, suami anggap dia berupaya menanganinya.  Bagaikan persoalan remeh baginya.  Ini membuatkan perasaan saya tambah tergores.  Itu memang kata-kata manis lelaki untuk berpoligami.  Buktinya cukup banyak, setelah apa yang dihajati tercapai, janji manis itu akan menjadi debu berterbangan, hilang entah ke mana dibawa angin lalu.  Akhirnya isteri juga yang menanggung derita dan sengsara!

Puas saya menyedarkan suami, agar menjadi hamba yang baik di hadapan Allah, jika dia dapat berbuat baik di hadapan Allah, insyaAllah dia tidak ada masalah untuk berbuat baik dengan isterinya.  Memang, saya tidak nafikan poligami itu dibenarkan, namun jika tidak mampu berlaku adil, agama menyarankan untuk beristeri seorang sahaja.  Pada saya jika suami berniat lurus mahu berdakwah dengan wanita itu dia tidak perlu berkahwin dengan wanita itu.  InsyaAllah pahalanya tetap mengalir sebagai amal jariah kerana telah mengislamkan wanita itu.

Tetapi masalahnya sekarang wanita itu pula tidak mahu meninggalkan suami saya.  Sudah ada ikatan emosi antara mereka berdua hingga memaksa suami membuat keputusan untuk berpoligami.  Realitinya masalah ini bukan hanya berpunca daripada suami saya tetapi juga dari pihak sebelah sana.

Masalah rumit seperti ini tidak hanya boleh diselesaikan oleh saya dan suami.  Saya memerlukan bantuan daripada anggota keluarga kami, atau pihak lain seperti kaunselor di pejabat agama.  Hal ini selain dari suami ada kepentingan sendiri, saya juga mempunyai hak serta anak-anak yang juga mempunyai keperluan terhadap ayahnya.

Bukan saya tidak memikirkan kesannya jika saya bercerai dan kesan jika saya tetap bersama suami walau pun dia berpoligami.  Mana yang lebih maslahat?  Mana mudharat yang paling kecil?  Saya masih tidak dapat memilih walau pun telah melakukan solat istikharah.

Ya Allah, berilah aku ilham dalam menyelesaikan kebuntuan ini.  Adakah saya perlu belajat menerimanya dengan ikhlas, menerima ketentuan ini dengan reda?  Ya, mungkin keikhlasan adalah jawapan kepada semua kekusutan, kerana keikhlasan itu adalah penyembuh.  Jika saya ikhlas, saya menjadikan semua tujuan hidup saya adalah semata-mata kerana Allah SWT.  Saya berdoa agar dengan tetap menjadikan Allah sebagai sumber cinta saya yang pertama, apa-apa pun yang terjadi akan dapat saya terima dengan hati yang tenang.  Wallahua'lam.

PETIKAN DARI MAJALAH




5 comments:

pujangga said...

kena banyak mohon petunjuk dari Allah kalau menghadapi masalah seperti ini... Allah tidak akan menzalimi kita...

Anonymous said...

saya seorang lelaki muslim, nasihat saya ialah relakanlah suami berpoligami demi mencapai cinta Allah yang agung, ia satu laluan permaidani emas dari Allah untuk Puan. senyumlah dan hadapkan wajah mu kepada Allah kerana anugerah agung ini kerana dengan ini puan mempunyai banyak waktu untuk berzikir kepada Allah.

MSDoubleU said...

pendapat saya awak kenal isihati bakal madu tu sedalam2nya dulu (ingat...tanpa bias).Kalau awak dapati wanita itu adalah amat baik dan menghormati awak, saya cadangkan awak terima saja...saya tahu suami awak mmg sayangkan awak (itu pasal dia tak mahu lepaskan awak. Untuk pengetahuan awak, awak tetap no satu dalam hidupnya dan dia tahu yg dia telah mengecilkan hati awak, tapi apakan daya dia juga telah jatuh hati dgn wanita cina itu....Pada suami awak, awak takda buat silap apa2 pun...Kalau awak seorang isteri yg baik, ini adalah dugaan dari Allah, tapi Allah tu Maha Mengetahui...mungkin ada baik yg Allah tahu dan awak tak tahu..dalam quran ada sebut "orang yg kita sangka jahat itu sebenarnya dia adalah sebaik2 kawan, dan orang yg kamu sangka baik itu sebenarnya adalah sejahat2 orang"...mungkin keadaan semua dari segi kesenangan dan lain2 akan dtg kpd awak, madu dan suami...manalah tahu dimasa akan datang kalau sakit menimpa awak, madu awak yg banyak menolong...akhir kata awak kenalilah 'musuh' awak dulu..mungkin musuh yg awak sangka itu adalah 'teman baik' kepada awak dikemudian hari...hubungi saya jika mahu kaunsiling yg lanjut...tapi ingat keputusan di tangan awak...jgn saya dipersalahkan kalau nasihat saya ini didapati tak betul di kemudian hari...

jendela hati said...

sdra MSW,

Kisah ni bukan kisah saya, saya sekadar memetik dari sebuah majalah untuk berkongsi bersama pembaca sekalian.

Anonymous said...

Bermadu...itulah perkataan yang amat ditakuti semua wanita. Kepada yang telah solat istikharah, redhakanlah kerana itu tentuan Illahi. Walaubagaimanapun, mohonlah pada Allah agar dipeliharakan dari benda benda yang tidak baik yang bakal berlaku hasil dari poligami tersebut. Jagalah rumahtangga dan jangan ambil tahu apa yang suami dan madu buat apabila giliran suami dirumah madu. Anggaplah apabila suami keluar rumah dia bukan hak kita, tapi apabila dirumah kita, dia adalah hak kita sepenuhnya. Minta suami berjanji agar tidak melayan panggilan telefon dari madu apabila dia dirumah kita melainkan melibatkan soal kemalangan dan kematian. Insyaallah hati akan tenang dan segalanya akan lancar selagi suami berupaya menyediakan nafkah zahir dan batin...

Post a Comment